Sunday, March 7, 2010

Senator: Ada pihak kelirukan Orang Asli

Senator: Ada pihak kelirukan Orang Asli

Salhan K Ahmad
Feb 25, 10
5:52pm

http://www.malaysiakini.com/news/125174

Peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negara (1965) tidak akan dimansuhkan, sebaliknya akan ditambahbaik bagi melindungi kepentingan Orang Asli, kata Senator Muhammad Olian Abdullah.

Muhammad - senator dari suku kaum Semelai, Pahang - berkata demikian bagi menjawab kekhuatiran yang ditimbulkan orang sekumpulan 30 Orang Asli di Gombak yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di situ semalam.

Menurutnya, kumpulan masyarakat tersebut mungkin telah dipengaruhi dan dikelirukan oleh pihak ketiga tertentu apabila bertindak mengadakan perhimpunan semalam.

"Anda tahulah sesetengah orang ini mungkin ada kepentingan peribadi atau politik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Antara yang ditimbulkan oleh kumpulan Orang Asli berkenaan ialah hak pemilikan ke atas tanah saka dan tanah rayau mereka, yang dikhuatiri hilang selepas undang-undang tersebut dipinda.

Isu ini timbul selepas kerajaan memperkenalkan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli untuk Kegunaan pertanian dan kediaman, yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara awal Disember lalu.

Dasar tersebut antara lainnya menggariskan pemilikan tanah seluas dua hingga enam ekar tanah ladang dan juga bagi tapak penempatan seluas 5,000 kaki persegi hingga seperempat ekar.

Pemilikan secara kekal ke atas tanah tersebut akan diberikan kepada setiap ketua isirumah Orang Asli, makala sekatan-sekatan dikenakan bagi menghalang tanah tersebut daripada disewa, digadai, dipajak atau dilepaskan hak milik.

Dasar ini bakal dikuatkuasakan melalui pindaan di dalam kedua-dua seksyen berkenaan dalam Kanun Tanah Negara.
.
"Pada asalnya, akta ini dicadang untuk dibentang di parlimen pada bulan depan, tapi melihat situasi sekarang, mungkin tidak sempat untuk dibentangkan.

"Sekarang JHEOA perlu jalankan lebih banyak lagi sesi penerangan dengan pemimpin masyarakat Orang Asli dan ketua-ketua kampung supaya mereka faham dasar," katanya lagi.

Jelasnya, masyarakat tersebut perlu memahami tujuan kerajaan meminda akta berkenaan bagi melindungi kepentingan Orang Asli berkenaan.

"Mereka perlu faham, akta berkenaan tidak akan sekat hak ke atas tanah tanah saka dan tanah rayau mereka.

"Apa yang disebut dalam dasar itu, contohnya kalau satu kampung ada 60 keluarga, mereka akan dapat 60 ekar tanah manakala kawasan yang selebihnya itu akan jadi kawasan rayau mereka," katanya.

"Malah akta baru ini akan beri milik tanah tersebut kepada mereka, dalam akta lama perkara ini (pemilikan) tidak ada. Definisi untuk Orang Asli juga akan dimasukkan untuk menyebut kesemua 18 suku kaum yang ada. Dalam akta lama tidak disebut," katanya lagi.

Tambahnya, masyarakat berkenaan juga tidak akan dikenakan sekatan bagi memohon jumlah tanah yang lebih banyak daripada apa yang diperolehi.

No comments: