Empangan Kelau: 27 Orang Asli fail semakan kehakiman | ||
|
Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas menetapkan 13 April tahun depan untuk mendengar permohonan yang difailkan pada 9 Oktober lalu oleh tiga Orang Asli suku kaum Senoi dan 24 Orang Asli suku kaum Temuan itu. Mereka memfailkan permohonan itu melalui Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham, Hasnal Rezua & Yusmadi.
Dalam permohonan bagi semakan kehakiman itu, pemohon yang diwakili oleh Pendor bin Anger dan 26 yang lain menamakan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Kerajaan negeri Pahang dan Kerajaan Malaysia sebagai responden, demikian menurut laporan Bernama.
Mereka memohon satu perintah deklarasi bahawa Kerajaan Pahang dan Kerajaan Malaysia dalam memutuskan untuk membatalkan Warta No 10 bertarikh 29 November 1976, iaitu tanah yang mereka diami, telah mengingkari kewajipan fidusiari terhadap mereka.
Mereka mendakwa tanah itu adalah tanah turun-temurun dan telah mewarisinya sejak zaman nenek moyang mereka lagi dan mereka juga mencari rezeki di kawasan itu untuk menyara keluarga.
Mereka juga memohon perintah deklarasi bahawa Kerajaan Malaysia yang meluluskan pembinaan projek empangan itu telah mengingkari kewajipan fidusiari untuk melindungi, memajukan dan memelihara Orang Asli di negara ini.
Kajian hidupan liar
Orang Asli itu mendakwa mereka tidak tahu menahu tentang laporan EIA yang diluluskan oleh pihak kerajaan pada 24 April 2001 mengikut Seksyen 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sehingga diberitahu oleh peguam mereka.
Dalam permohonan itu, mereka antara lain memberi alasan bahawa laporan EIA itu tidak menepati panduan-panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui "A Handbook of Environmental Impact Assessment Guidelines" dan "Environmental Impact Assessment Guidelines for Dams" yang wajib dipatuhi.
Mereka mendakwa hasil penyelidikan terhadap laporan EIA itu, mereka mendapati laporan itu gagal memperuntukkan kajian hidupan liar yang terperinci, munasabah, juga meragukan.
Orang Asli itu juga mendakwa laporan EIA itu gagal sama sekali memberi data dan penilaian alam sekitar dan kawasan yang terjejas akibat pembinaan Empangan Kelau itu.
Selain memohon deklarasi, Orang Asli itu juga menuntut kos yang akan dibayar responden dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
http://www.malaysiakini.com/news/74680
No comments:
Post a Comment